|
Selamat datang ke Laman Web Keluarga
Jannaton .
Usaha untuk mengadakan Laman
Web ini tercetus dari saudara kita Fazil Shuhaimi Talib dan Profesor
Ahmad Murad Merican dan dengan ehsan dan jasa baik Saudara Zamani
Rafique.
Jannaton, datuk moyang kita,
yang berasal dari Pagar Ruyung, di Tanah Minangkabau telah datang
dan membuka Pulau Pinang dalam tahun 1736an. Tanah yang diterokai
di kawasan Batu Uban, Minden, Glugor adalah hadiah dari Sultan Kedah.
Dari kajian dan fakta-fakta
kukuh yang diperolehi oleh Prof Ahmad Murad serta berpandukan buku
yang ditulis oleh Allahyarham Abdul Aziz Ishak, iaitu bapa saya
dan catitan-catitan Allahyarham datuk saya Tok Ishak bin Ahmad dan
abangnya Allahyarham Tok Elias bin Ahmad maka dapatlah kita masukkan
maklumat-maklumat yang sungguh penting ini ke dalam Laman Web Keluarga
Jannaton.
Dengan berpandukan fakta-fakta
dari catitan Allahyarham Tok Ishak dan anaknya Abdul Aziz serta
temubual saya dengan keluarga yang lebih tua di Kedah, Pulau Pinang,
Terong, Matang, Taiping, Ipoh, Seremban dan Kuala Lumpur, suami
saya Mohd Nizar dan Ayahanda Dr. Johan dan isteri Datin Alma Azizah
Ishak serta keluarga telah membuat buku salasilah khusus dari anak
Abdullah bin Jannaton, sebahagian dari adik Abdullah, Halimah bt
Jannaton dan maklumat tentang Aishah bt Jannaton yang disediakan
oleh Mokhsin bin Abdul Halim.
Perjumpaan Keluarga Jannaton
telah diadakan sebanyak tiga kali dengan usaha gigih dari Ahli Jawatankuasa
serta sokongan padu dari seluruh Keluarga Jannaton di Malaysia,
Singapura, Brunei, Australia, Amerika, Denmark, Germany dan England.
Kini, kita berada di genaerasi
ke 9, tetapi maklumatnya belum lengkap. Dengan itu adalah menjadi
harapan saya agar Laman Web kita ini dapat membantu semua keluarga
mencari adik-beradik kita di seluruh dunia dan merapatkan silatulrahim
di antara keturunan Jannaton bin Raja Labu.
Silalah melayari Laman Web
Jannaton serta hantarkan maklumat-maklumat yang boleh melengkapkannya
kepada kami agar kita kenal di antara satu sama lain.
Rahmah Abdul Aziz
Presiden,
Keluarga Jannaton
|