Am
| 06 Februari, 2007 15:35 PM |
|
Geran Penyelidikan Kaji Sejarah Sebelum Era
Francis Light
PULAU PINANG, 6 Feb (Bernama) --
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bersedia memperuntukkan
geran penyelidikan kepada ahli akademik dan persatuan sejarah bagi
menjalankan penyelidikan berhubung sejarah Pulau Pinang khususnya
era sebelum kedatangan Francis Light pada tahun
1786.
Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kementerian
itu mengalu-alukan kesungguhan mereka untuk melihat dan menilai
semula beberapa aspek tertentu dalam sejarah Pulau Pinang sebelum
kedatangan Light bagi memperkayakan sejarah negara ini.
"Ada
ahli akademik yang mempercayai bahawa sejarah Pulau Pinang patut
dilihat semula dan dinilai semula dan kita mengalu-alukan cadangan
itu. Kementerian boleh membantu mereka menjalankan kajian itu untuk
membuat perbandingan dengan catatan sejarah konvensional mengenai
Pulau Pinang," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas
meninjau rumah yang dicadangkan bagi dijadikan Pusat Khazanah Melayu
Pulau Pinang di Jalan Hutton di sini Selasa, beliau berkata pada
masa ini, hanya sedikit maklumat yang boleh dikongsi mengenai
sejarah Pulau Pinang iaitu selepas kedatangan
Light.
"Kedatangan Light seperti kilat... Pulau Pinang
dikenali hanya selepas Light datang. Itu tidak tepat kerana Pulau
Pinang sudah wujud sebelum itu dengan pelbagai aktiviti ekonomi,
struktur sosial dan perdagangan yang dijalankan dengan tanah besar
termasuk Kedah dan Melaka," kata beliau.
Rais berkata apabila
banyak idea dikeluarkan oleh ahli akademik dan pakar sejarah
mengenai sejarah Pulau Pinang yang dikatakan bukan ditemui oleh
Light, ia adalah baik dan perlu dikembangkan dengan penyelidikan
secara terperinci.
Katanya apa yang perlu dilakukan ialah
penyelidik mesti serius menjalankan penyelidikan yang menjurus
kepada perkara berkaitan keaslian termasuk dokumentasi dan artifak
yang perlu dikumpulkan bagi membuktikan idea mereka.
Sehingga
ini, katanya, Persatuan Sejarah Universiti Sains Malaysia (USM) dan
Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) mencetuskan idea bagi
menjalankan penyelidikan itu di mana mereka perlu menghantar kertas
cadangan rasmi untuk diteliti oleh kementerian
berkenaan.
"Apabila kita menerima kertas cadangan itu dan
diteliti oleh pakar, kita boleh memulakan kajian dan geran yang akan
disediakan bergantung kepada berapa lama kajian akan dijalankan
termasuk kos ke luar negara dan kerja lapangan," jelas
beliau.
Sebelum ini, Pensyarah Fakulti Komunikasi, Universiti
Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Ahmad Murad Merican melalui
kajiannya menunjukkan bahawa Datuk Jannaton dari Sumatera
bersama-sama sekumpulan 180 orang pengikutnya datang ke Pulau Pinang
pada 1749.
Mengenai Pusat Khazanah Melayu Pulau Pinang yang
dicadangkan dibangunkan di rumah berusia lebih 100 tahun di No 138,
Jalan Hutton di sini oleh Pemenang, Rais berkata kementeriannya akan
mengkaji cadangan Pemenang supaya rumah itu diwartakan mengikut Akta
Warisan 2005.
Katanya rumah itu yang kini dimiliki oleh
keluarga Tan dipercayai pernah dimiliki oleh orang Melayu lebih 100
tahun dahulu dan memenuhi akta yang menetapkan bangunan berusia
lebih 100 tahun diwartakan sebagai bangunan
warisan.
Bagaimanapun, katanya, Pemenang perlu mengkaji
secara lebih mendalam mengenai pemilikan sebenar premis, artifak
sejarah yang dimiliki serta pembabitan pemilik asal premis dengan
perkembangan sejarah Pulau Pinang.
Selain itu, katanya, rumah
itu sesuai dijadikan pusat khazanah Melayu kerana kedudukannya yang
bertentangan dengan Sekolah Kebangsaan Sri Tanjong yang begitu
sesuai dijadikan pusat rujukan ilmiah pada masa depan.
--
BERNAMA |